Hi. apa khabar?

Welcome to my blog. I hope you'll find something that you can relate to. Who knows, there could be other souls out there who think a little too much and feel a little too deeply, just like me. 

220 Hari Penuh Duka

Translation by: Yusman Rosdi

Tidak ramai yang sanggup meluahkan secara terbuka mengenai kesedihan apabila kehilangan seseorang yang amat bermakna dalam hidup kita, lalu secara tidak langsung menjadikan masyarakat kita kurang memberi perhatian untuk lebih mendalaminya. Hakikatnya, kebanyakan daripada kita sering menghadapi masalah dalam menanganinya dan lebih parah lagi, kita malu untuk mengakuinya seolah-olah meluahkan kesedihan ini merupakan satu kesalahan yang amat besar. Saya amat berharap perkongsian pengalaman saya ini sedikit sebanyak mampu memberi anda kesedaran tentang kepentingan memahami perkara ini, kerana setiap insan pasti tidak akan terlepas daripada merasainya.

Coretan ini saya dedikasikan kepada anda di luar sana yang telah kehilangan orang yang amat bermakna dalam hidup anda atau sesiapa sahaja yang belum pernah mengalaminya, namun ingin memahami bagaimana rasanya hidup dalam kesedihan apabila insan yang amat anda sayangi telah pergi. Ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Jangan pernah berasa malu, anda berhak merasa apa yang anda sedang rasa; semoga perkongsian ini mampu menyuntik semangat untuk anda terus menghadapinya.

Kehilangan arwah Lil, sepupu dan juga sahabat karib saya pada Disember yang lalu telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada diri saya. Kebiasaannya, saya bukanlah seorang yang mudah untuk tunduk pada kesedihan, namun untuk menerima pemergian beliau ternyata bukanlah satu perkara yang mudah untuk saya lakukan. Kehilangan beliau telah membawa saya kepada satu perjalanan emosi yang berlanjutan hingga 220 hari dan seperti yang telah saya nyatakan, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Ombak Menghempas

Semuanya bermula sebelum pemergian arwah lagi. Kira-kira 6 bulan sebelum arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir, kerisauan yang melampau (anxiety) telah melanda diri saya sehinggakan segalanya bertukar menjadi kaku. Pada ketika itu, saya bagaikan telah terputus hubungan daripada sebarang emosi, baik kesedihan atau kegembiraan; ada kalanya, saya dihantui fikiran-fikiran halus yang mengatakan bahawa kesakitan mungkin boleh membantu saya merasai semula apa yang telah hilang. Sememangnya perit apabila tiada apa pun yang mampu saya lakukan, sekalipun menangis. Perubahan pada diri saya begitu jelas dan ketara sekali sehingga orang di sekeliling saya juga turut menyedarinya. Rupa-rupanya, apa yang berlaku pada ketika itu adalah merupakan salah satu daripada simptom kehibaan diduga (anticipatory grief).

Apa yang menyebabkan keadaan tersebut ialah, secara semula jadinya tubuh badan serta minda saya pada ketika itu sedang ‘bersedia’ untuk menerima tamparan yang lebih hebat selepas pemergian arwah. Ia umpama perasaan saya yang sedang ‘direhatkan’ buat sementara waktu oleh minda saya sebagai persediaan untuk menghadapi kehilangan arwah. Inilah yang menjelaskan mengapa berkali-kali emosi saya menjadi kaku dalam tempoh tersebut. Namun begitu, kekakuan emosi bukan sahaja berlaku sebelum kematian, ia juga boleh berlarutan selepas kematian – walaupun arwah telah pergi, saya masih terus mengalaminya.

Badai Melanda

Membandingkan situasi ini dengan pengalaman saya menghadapi kehilangan kedua-dua arwah nenek sebelum ini, saya membayangkan bahawa kali ini ia akan menjadi lebih mudah. Namun, ternyata jangkaan saya meleset. Pemergian mereka sudah dijangka; perkara yang sama tidak berlaku dengan arwah Lil kerana tidak pernah terlintas di hati saya akan suratan takdir ini untuk terjadi. Langsung tidak pernah saya membayangkan arwah, yang hanya 2 tahun lebih tua daripada saya akan pergi dahulu sebelum salah seorang daripada kami sempat mendirikan rumah tangga.

Segalanya berlaku dengan begitu pantas, dengan kanser yang tiba-tiba datang menjemput arwah untuk kembali ke Rahmatullah pada usianya yang begitu muda. Sekelip mata, sekujur tubuh yang dahulunya sihat dan sejahtera kini tempatnya bukan lagi di dunia ini. Sesiapa sahaja yang pernah merasai pengalaman menyaksikan sendiri orang kesayangan mereka perlahan-lahan pergi meninggalkan mereka sambil menanggung derita kesakitan pasti dapat membayangkan keperitannya – tidak mudah untuk menjadi kuat tatkala menyaksikan kesakitan orang tersayang, kerana lambat laun kesannya pasti terasa. Namun kasih sayang tidak pernah meminta, sebaliknya ia mampu mendorong kita untuk melakukan apa sahaja yang termampu demi insan yang kita sayangi.

Beberapa minggu selepas ketiadaan Lil, begitu terasa akan kesedihan di hati mengenangkan pemergian arwah, serta diri saya yang kini bukan lagi seperti yang dahulu. Terasa seperti tiada kegembiraan pada hari mendatang yang akan mampu menutup kesedihan di lubuk hati ini. Sememangnya, pemergian arwah benar-benar menguji kekuatan diri. Bak kaca yang jatuh berderai, begitulah perasaan saya pada ketika itu. Cubaan untuk memulihkannya semula hanyalah untuk menambahkan lagi luka, dan lebih banyak kepedihan yang terpaksa ditempuhi.

Biarpun kesedihan cuba untuk digambarkan dengan pelbagai bentuk penjelasan, namun setiap kali ia muncul rupanya pasti berlainan. Ada hari ia mampu dihindari, namun ada hari ia benar-benar menguji; ia tidak akan pergi selagi kehadirannya tidak disedari.

Sememangnya individu yang mengalami kesedihan akibat kehilangan insan yang tersayang agak cenderung untuk mengalami perubahan emosi (mood swing) yang ketara; emosinya akan sentiasa berubah tanpa mengira masa, daripada normal kepada sedih, marah, keliru dan sebagainya. Bagi yang mengalaminya, sesungguhnya ia bukanlah satu pengalaman yang menyeronokkan kerana segala perubahan emosi ini berlaku di luar kawalan individu sehingga menjadikan seseorang itu bukan dirinya yang sendiri. Saya sendiri tidak terlepas daripada mengalami perubahan emosi ini, dan kerap kali ia berlaku dalam tempoh beberapa bulan selepas pemergian arwah Lil. 

Tiada Gambaran Jelas Mengenai Kesedihan

Jika difikirkan, hakikat bahawa selama ini saya telah menanggung beban kesedihan dan berupaya membiarkannya sebegitu sahaja sepanjang tempoh tersebut sebenarnya agak menakutkan. Umpama gelas yang diisi dengan air tanpa henti sehingga melimpah keluar, itulah keadaannya dengan kesedihan yang saya alami. Sebaik sahaja kesedihan datang menyelubungi, ia pasti akan mencengkam untuk berjam-jam lamanya, malahan ia kadangkala berlarutan sehingga beberapa hari. Namun sesungguhnya, kepada Tuhan jua kita meminta. Seringkali saya bertanya: Bilakah perasaan ini akan hilang? Sembuhkanlah hati ini. Bawalah ia pergi, kasihanilah hambamu yang lemah ini.

Bagaimanakah pula kesedihan memainkan peranannya? Terdapat satu perkara yang perlu kita fahami; kehilangan orang tersayang bermakna anda turut kehilangan sesuatu yang selama ini sentiasa melengkapi kehidupan anda, dan pemergian ini bersifat selama-selamanya selagi anda masih bernafas. Tidak ada istilah ‘kembali’ untuk ini. Bersedih merupakan salah satu proses yang akan dilalui seseorang individu dalam usaha untuk membiasakan diri sepenuhnya dengan pemergian insan tersayang. 

Daripada kesakitan emosi, ia boleh berubah menjadi sesuatu yang fizikal. Anda mungkin akan menangis dan terus menangis sehingga berjam-jam lamanya, sehingga kering air mata dan tenaga. Setelah itu, semuanya hanya kosong dan suram. Ya, mungkin bunyinya kedengaran seperti agak keterlaluan bagi sesiapa yang tidak pernah merasai pengalaman seperti ini, namun kesedihan hanya dapat dilepaskan dengan melepaskannya, dan menangis adalah merupakan salah satu cara untuk melepaskannya. Menahannya hanya akan mengundang lebih banyak kesakitan.

Datang dan pergi sesuka hati, itulah kesedihan; ia boleh berlaku secara berterusan atau secara rawak. Sememangnya ia adalah satu proses yang tidak boleh diramal akan perjalanannya. Bayangkan anda sedang berjalan seorang diri di atas bumi yang dipenuhi dengan jerangkap samar; setiap saat membawa kemungkinan untuk tercetusnya ledakan emosi. Ganguan emosi mengejut (grief attack) pada waktu tersebut nampaknya telah menjadi satu perkara yang normal buat saya. Untuk pengetahuan anda, saya berkongsi bilik dengan adik saya; dan beliau sememangnya telah sedia maklum dengan keadaan saya. Beliau jugalah orang pertama yang akan datang menenangkan saya dengan pelukan penuh kasih sayang beliau setiap kali menyedari grief attack ini datang menyapa.

Kesedihan Membuka Jalan Menuju Kebahagian

Pemergian arwah Lil membawa bersama segala ketakutan yang pernah saya alami sebelum ini. Kerisauan saya ke atas perkara-perkara yang berada di luar kawalan mulai hilang dan kini saya mulai lebih menghargai segala nikmat yang suatu ketika dahulu sering sahaja terlepas pandang akannya. Masa depan bukan lagi persoalan, sebaliknya bagaimana mahu memanfaatkan sepenuhnya kehidupan seharian. Kesedihan telah mengajar saya untuk lebih menyayangi diri sendiri serta tidak memberi perhatian kepada apa atau sesiapa sahaja yang mampu membawa kesan negatif terhadap kehidupan saya.

Melalui kesedihan, anda akan belajar untuk menerima kegembiraan sebagai sesuatu perkara yang tidak akan berkekalan, dan dari situlah anda akan mula menghargai setiap detik kegembiraan sebelum ia pergi. Keluarga dan sahabat handai adalah sebahagian daripada kegembiraan tersebut, dan untuk itu saya benar-benar bersyukur dengan setiap masa yang dapat diluangkan untuk bersama mereka. Kehadiran mereka sememangnya begitu bermakna, walaupun kini tanpa arwah Lil bersama. Syukur saya masih lagi diberikan peluang meraikan kehadiran insan-insan yang begitu penting dalam kehidupan saya.

Kesedihan mengajar saya 3 perkara penting:

1. Setiap insan yang kita sayangi akan pergi jua. Hargailah kehadiran mereka.

إِنَّا للهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون  Daripada Allah kita datang; dan kepada-Nya jua kita kembali. Apabila tiba masanya, setiap insan yang anda sayangi baik keluarga mahupun sahabat handai akan tetap pergi jua meninggalkan anda tanpa sesiapa pun yang mampu menghalangnya. Nikmatilah masa bersama mereka dengan sebaik-baiknya tanpa menunggu hari yang akan mendatang – apabila semuanya telah pergi, hanya memori bersama mereka yang akan menemani anda. 

2. Setiap detik adalah begitu berharga.

Jangan membuang masa yang terluang dengan begitu sahaja. Lakukanlah sesuatu yang mampu memberi makna kepada kehidupan anda. Kewujudan anda tidak akan membawa apa-apa erti selagi ANDA tidak meraikannya. Warnai kehidupan anda dengan menggunakan apa sahaja kelebihan kecil yang anda miliki untuk membina sesuatu yang lebih besar. Berdampinglah dengan orang-orang yang mampu membawa anda ke satu aras yang lebih tinggi. Usah membuang masa dengan perkara yang tidak mampu mendatangkan kegembiraan kepada anda sama ada perkerjaan, pasangan mahupun hala tuju hidup.  Tiada apa atau sesiapa pun yang mampu mengawal mental dan emosi anda, semuanya bergantung kepada ANDA.

3. Kasih sayang adalah rezeki daripada Tuhan.

Rezeki kurniaan Tuhan tidak hanya merangkumi kesihatan dan harta, ia meliputi segalanya – kasih sayang dan kebaikan yang wujud melalui insan di sekeliling anda adalah salah satu Anugerah daripada-Nya. Apabila anda melihat setiap hubungan dalam kehidupan dari sudut pandangan ini, anda pasti akan lebih menghargai hubungan dengan setiap insan penting dalam hidup anda, dan juga Tuhan. Lebihkan rasa bersyukur, yakinlah dengan rahmat kurniaan-Nya.

Sesungguhnya saya amat bertuah dikurniakan dengan para insan yang tidak putus-putus memberi sokongan dan kasih sayang sepanjang tempoh saya bergelut dengan kesedihan ini. Keluarga, sahabat, rakan-rakan malahan insan-insan yang tidak saya kenali, semua dengan baik hatinya tampil menghulurkan perhatian di saat saya amat memerlukannya. Ia adalah satu pengalaman yang membuka mata; harta dan benda tidak akan bermakna apabila ia tidak mampu menyembuhkan hati yang terluka, sebaliknya kasih sayang yang luhur dan hubungan yang ikhlas jualah yang akan membawa anda keluar dari sisi gelap hidup anda.

 

...Kesedihan adalah katalis kegembiraan. 

...Ikuti perjalanan keluar saya daripada kesedihan ini dalam perkongsian seterusnya.